IKLAN PENAJA

PEKAN - PEKAN KECIL


Ayer Keroh


     Ayer Keroh atau Air Keroh merupakan satu kawasan di mana terletaknya pusat pentadbiaran baru kerajaan Melaka iaitu terletak di Hang Tuah Jaya.Di sini juga terdapat tempat-tempat yang menarik boleh dikunjungi oleh seisi keluarga.
Hang Tuah Jaya (HTJ) merupakan kawasan pentadbiran kerajaan negeri melaka yang terletak di kawasan Ayer Keroh yang merupakan kawan perindustrian yang paling pesat di negeri melaka.
     Hang Tuah Jaya yang berpintu masuk melalui lebuhraya Utara -selatan (plus) melalui tol ayer keroh merupakan kawasan pentadbiran kerajaan negeri melaka yang baru. kawasan ini meliputi Bandarraya Melaka,Bandarraya Ayer Keroh,Kompleks Melaka Sentral,Hang Tuah City, Bandar Hilir, Bandar Mahkota, Bandar Muzaffar Syah, Pelabuhan Pulau Melaka, Melaka International Trade center (MITC), Lapangan Terbang antarabangsa Melaka(MIA), Kompleks Arena Sukan Melaka (Melaka International sports Arena (MISA), Melaka Media city (MMC), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA(UTEM), 
     MELAKA RECRETIONAL COMPLEXS(MRC)-merupakan kompleks rekreasi yang terletak dikawasan ayer keroh antaranya, taman buaya,zoo melaka, taman mini asean, taman burung melaka, hutan rekreasi ayer keroh, dataran sejarah ayer keroh, taman budaya melaka dan berbagai lagi.
Alor Gajah
     Alor Gajah merupakan salah satu daerah di Melaka, 24 km dari Bandar Melaka.

      Nama Alor Gajah berpunca daripada tabiat sekumpulan gajah liar yang kononnya diketuai oleh seekor gajah putih. Gajah berkenaan dilihat sangat gemar berjalan secara berkumpulan menurut alur sebatang sungai yang terdapat di bandar ini. Atas keadaan itu penduduk tempatan menamakan bandar ini sebagai Alor Gajah.
    Alor Gajah pada mulanya didiami oleh orang Minangkabau pada kurun ke-12. Apabila berlaku penghijrahan beramai-ramai penduduk Minangkabau di Tampin pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka maka wujudlah pemerintahan Melayu di Bandar Alor Gajah.

     Semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu seorang pegawai British telah ditempatkan di Alor Gajah bagi mengutip hasil. Sesuai dengan peranan dan tanggungjawab tersebut, Pejabat Daerah telah ditubuhkan agar perlaksanaan tugas dapat dijalankan dengan sempurna. 

     Pernah mempunyai landasan kereta api dari Pulau Sebang terus ke Bandaraya Melaka (melalui Alor Gajah) tetapi telah ditutup semasa pendudukan Jepun 1942.Stesen Kereta Api Pulau Sebang yang dibuka pada tahun 1905 masih lagi beroperasi pada masa kini yang lebih dikenali dengan nama stesen Kereta Api Tampin/Pulau Sebang.Pihak KTMB sedang merancang untuk membina semula laluan kereta api hingga ke Bandaraya Melaka dari Pulau Sebang.  Alor Gajah juga turut terlibat Projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik yang sedang giat dilaksanakan sekarang antara Seremban ke Gemas. Apabila stesen KTMB Pulau Sebang siap pada tahun 2012 turut dilengkapi dengan Perhentian Bas dan Teksi Pulau Sebang. Hal ini kelak menjadikan Pulau Sebang mempunyai sistem pengangkutan yang bersepadu yang melibatkan kereta api bas dan teksi. Secara tidak langsung Projek Sebang Sentral yang pernah diuar-uarkan menjadi kenyataan.

      Potensi Bandar Pulau Sebang akan bertambah maju.Limpahan pembangunan bukan sahaja akan berlaku di Bandar Alor Gajah tetapi turut dirasai dengan lain-lain kawasan yang berhampiran. Kerajaan Negeri Melaka mahukan Stesen KTMB Pulau Sebang kelak tidak lagi dibayangi dengan Tampin sebaliknya Stesen KTMB ini merupakan stesen yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka. 

     Pengangkutan Alor Gajah boleh dihubungi melalui Lebuh Raya Utara-Selatan. Plaza Tol Simpang Ampat kira-kira 5 kilometer dari Bandar Gajah.Alor Gajah merupakan satu-satunya bagi Negeri Melaka yang mempunyai stesen kereta api. Stesen Kereta Api Pulau Sebang terletak kira-kira 8 kilometer arah ke Tampin.Satu lagi stesen KTMB daerah Alor Gajah terletak di Tebong. Walau bagaimanapun tren antara bandar tidak berhenti di stesen ini. Namun demikian kerja-kerja naiktaraf juga dilakukan kerana laluan landasan berkembar elektrik turut melalui stesen ini.


Asahan

    Asahan merupakan sebuah pekan yang terletak di dalam Majlis Perbandaran Jasin. Ia juga terletak di antara tiga buah negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, dan Johor. Pusat pelancongan utama di Asahan ialah Air Terjun Asahan dan Gunung Ledang.

    Asahan juga telah dirancang oleh Majlis Perbandaran Jasin sebagai pusat pelancongan . Antara pusat pelancongan yang didirikan antaranya. Taman Rekreaksi Asahan ,Air Terjun Asahan Gunung Ledang dan Laman Tiga Budaya Asahan.
Jarak Perjalanan Dari Asahan Ke :-
  • Bandar Jasin - 25KM
  • Bandaraya Melaka - 45KM
  • Bandar Tangkak, Johor - 24KM
  • Gemencheh, Negeri Sembilan - 20KM
  • Bandar Alor Gajah - 35KM
  • Selandar - 20KM
  • Nyalas - 12KM
  • Simpang Bekoh - 8KM
  • Merlimau - 40KM
  • Bandar Muar - 45KM
Dari Asahan Ke Plaza Tol:-
  • Plaza Tol Tangkak - 26KM
  • Plaza Tol Jasin - 30KM
  • Plaza Tol Ayer Keroh Melaka - 40KM
  • Plaza Tol Simpang Ampat Alor Gajah - 40KM
Dari Asahan Ke Stesen Bas dan Teksi
  • Perhentian Bas Dan Teksi Bandar Jasin - 25KM
  • Melaka Sentral - 43KM
  • Perhentain Bas Dan Teksi Tangkak - 23KM


Batang Melaka

     Batang Melaka adalah sebuah mukim dalam daerah Jasin, negeri Melaka, Malaysia. Pekan Batang Melaka pula adalah sebuah pekan kecil yang sebahagian daripadanya dalam daerah Jasin negeri Melaka dan sebahagian lagi dalam daerah Tampin, Negeri Sembilan. Sempadan bagi kedua negeri Melaka dan Negeri Sembilan pekan Batang Melaka adalah ditengah-tengah pekan Batang Melaka, yang mana terdapat papan tanda memasuki negeri Melaka/Negeri Sembilan. Pekan ini banyak berubah sejak dari tahun 1960'an.
     Di pekan Batang Melaka ini, terdapat stesyen keretapi yang mempunyai ciri istimewa. Stesyen ini pejabatnya terletak dalam geografi Negeri Sembilan, tetapi jika keretapi dari Tampin berhenti di stesyen ini, kepala keretapi akan berada dalam geografi Negeri Sembilan tetapi sebahagian gerabak keretapi akan berada dalam geografi negeri Melaka. Begitu jugalah sebaliknya, jika keretapi dari Gemas berhenti di stesyen Batang Melaka.                Mukim Batang Melaka mempunyai beberapa kampung dan taman seperti Kampung Hulu, Kampung Hilir, Kampung Tengah, Taman Batang Melaka Baru, Rumah Awam Batang Melaka, Kampung Baru On Lok.

     Penduduk Batang Melaka terdiri dari bangsa Melayu, India, China dan sebahagian kecil komuniti Orang Asli. Mereka ini kebanyakkannya bekerja sendiri seperti menoreh getah, petani/peladang, peniaga dan sebahagian kecil disektor swasta dan kerajaan.

     Batang Melaka menghubungkan Gemencheh yang mana terletak kira-kira 5km yang terletak di negeri lain iaitu Negeri Sembilan.



Batu Berendam

     Batu Berendam terletak dalam daerah Melaka Tengah, Melaka.
Di sini terletaknya sebuah lapangan terbang bagi negeri Melaka iaitu Lapangan Terbang Batu Berendam.Terdapat bekas laluan kereta api yang telah dibongkar oleh tentera Jepun pada tahun 1942 Kini batu berendam dalam pesat  membangun.


Bukit Katil

     Bukit Katil merupakan sebuah bandar dan kawasan parlimen di negeri Melaka.Ia terletak di dalam kawasan Melaka Tengah.Bukit Katil juga bersempadan dengan Ayer Keroh di bahagian utara dan juga Bukit Beruang di bahagian timur.



Durian Tunggal

     Durian Tunggal merupakan sebuah mukim yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka, tiga kilometer dari Tol Air Keroh.Terdapat kolam takungan air utama yang terletak 3 kilometer dari pekan Durian Tunggal menuju ke Selandar, Jasin. Kolam ini pernah kering pada tahun 80-an. Terdapat taman burung yang terletak di kampung padang keladi.
     Auyen Hill adalah pusat pelancongan yang kerap dikunjungi terutama oleh orang Cina kerana terdapat tembok Cina yang dibina hasil ilusi tembok besar Cina.Pada abad ke-21 pekan Durian Tunggal telah berubah wajah dari pekan cowboy kepada pekan moden.



Hang Tuah Jaya

     Hang Tuah Jaya merupakan pusat pentadbiran baru bagi kerajaan negeri Melaka. Di sini terdapat pelbagai pejabat kerajaan, kawasan perdagangan, pusat konvensyen, kawasan rekreasi, terminal pengangkutan, pendidikan serta tempat tumpuan pelancongan.
Antara tempat-tempat utama yang terdapat di sini ialah:
  • Ayer Keroh
  • Seri Negeri yang menempatkan pejabat Ketua Menteri
  • Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), tempat berlangsungnya pelbagai konvensyen, seminar dan pameran.
  • Zoo Melaka
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
  • Masjid al-Alami MITC
  • Taman Buaya Melaka
  • Taman Mini Malaysia
  • Taman Mini Asean
  • Lapangan Terbang Batu Berendam

 

Jasin

     Jasin merupakan salah sebuah daerah yang terletak di Negeri Melaka dan bersempadan dengan negeri Johor .Dalam dalam daerah Jasin, terdapat pekan-pekan kecil iaitu Pekan Batang Melaka, Pekan Nyalas, Pekan Selandar, Pekan Kesang Pajak, Pekan Simpang Bekoh, Pekan Asahan, Pekan Bemban, Pekan Chin-Chin dan Pekan Sungai Rambai. Pusat pentadbiran daerah ini iaitu Majlis Perbandaran Jasin terletak di Bandar Jasin. 
     Jasin kini memiliki sebuah hopital kerajaan yang baru, iaitu Hospital Daerah Jasin. Hospital ini juga berfungsi sebagai hospital pengajaran untuk Kolej Perubatan Manipal Melaka. Pada tahun 2007, Jasin telah dinaiktaraf dari Majlis Daerah Jasin kepada Majlis Perbandaran Jasin.

     Asahan , 26 km dari Bandar Jasin ialah tempat pelancongan utama di Daerah Jasin dan terkenal dengan Gunung Ledang.
Pengangkutan

     Jasin boleh dihubungi melalui Lebuh Raya Utara-Selatan di persimpangan Tol Jasin.(14 kilometer dari Bandar Jasin dan 18 kilometer dari Pekan Merlimau) Jasin juga boleh dihubungkan melalui Lebuh Raya tersebut melalui susur keluar Tol Ayer Keroh (20km dari Bandar Jasin) atau Tol Tangkak (18 kilometer dari Pekan Jasin). Landasan kereta api memasuki bahagian utara daerah Jasin. Jasin boleh dihubungi melalui kereta api menerusi Stesen kereta Api Batang Melaka yang berada dalam kawasan Negeri Sembilan. Jaraknya 22 kilometer dari Bandar Jasin, 10 kilometer dari Pekan Selandar..




Klebang

     Klebang merupakan sebuah pantai yang terkenal di negeri Melaka. Ia terletak berhampiran Tanjung Kling. Klebang dibahagikan kepada dua bahagian, Klebang Besar dan Klebang Kecil.
     Klebang merupakan bahagian Melaka Tengah yang kedudukan di tengah antara Bandar Melaka dan juga Sungai Udang. Klebang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu, Klebang Besar dan juga Klebang Kecil. Klebang Besar merupakan kawasan klebang yang mempunyai Pantai Klebang, mengunjur sehingga ke kawasan Balik Buloh, Klebang Kecil pula bermula dari kawasan Pokok Mangga sehingga ke Masjid Klebang Besar.

     Klebang besar mempunyai beberapa kawasan kampung antaranya Pulau Gadong, Kampung Permatang, Balik Buloh yang menganjur sehingga ke arah Bertam Perdana, Cheng.Jalan Pulau Gadong merupakan laluan utama kenderaan dari sungai Udang untuk ke Bandarraya Melaka melalui Lebuh AMJ (Alorgajah- Melaka- Jasin).

     Di kawasan Pantai Klebang, kerajaan Negeri telah pun menambak kawasan pantai tersebut untuk dijadikan kawasan rekreasi untuk penduduk melaka, kawasan tambak ini mengunjur sehingga ke pantai Kundor, Tanjung Kling (dikenali juga sebagai Pantai Puteri).
     Mengikut sejarah dari kalangan orang tua di Klebang, nama Klebang diilhamkan oleh penduduk kawasan ini yang ketika itu ada beberapa pedangang India Muslim yang datang berdagang, lalu mereka berhenti solat di sebuah masjid di kawasan ini, sampai masuk waktu untuk bersolat, lalu pedagang tersebut azan di masjid tersebut. Lalu orang kampung di sini memanggil kawasan ini "keling bang(azan)". lalu bila telah terlalu lama penduduk menanggil "Keling Bang", nama Klebang pun tercipta.



Kuala Sungai Baru

     Kuala Sungai Baru merupakan sebuah pekan yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka. Kuala Sungai Baru merupakan sebuah bandar kecil di utara Melaka, bandar ini dikira bersempadanan dengan Port Dickson, Negeri Sembilan. Bandar ini dihuni dalam 10,000 orang yang kebanyakan nya adalah berasal dari Melaka, tetapi ada juga dikalangan penduduk yang berhijrah dari seluruh pelusuk malaysia yang datang berkerja di sektor awam dan juga sektor swasta.
     Bandar Kuala Sungai Baru juga berdekatan dengan Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan juga Bandar Masjid Tanah. Di Bandar Kuala Sungai Baru, mempunyai 2 institusi pendidikan yang terkenal di malaysia dan dunia iaitu, Akademi Laut Malaysia (ALAM)dan juga KOLEJ UNIVERSITI ISLAM MELAKA (KUIM).

     Bandar ini bakal menjadi sebuah bandar moden seperti bandarraya Melaka kerana banyak kawasan perumahan baru telah dibuka antaranya Taman Desa Bayu, Taman Seri Gamelan, Taman Seri Kuala, dan berbagai taman perumahan yang telah tumbuh bagaikan cendawan.



Lendu

     Lendu merupakan sebuah pekan yang terletak di negeri Melaka. Ia terletak di kawasan parlimen Masjid Tanah.


Lubuk China

     Lubuk China terletak di Alor Gajah, Melaka, berhampiran dengan Negeri Sembilan.  Terletak kira-kira 13 km dari laut.Pada tahun 1988, beberapa tempat di kawasan ini pernah banjir dan jalan utama di Lubuk Cina dilintasi air. Hanya kenderaan berat sahaja boleh melaluinya. Kini Sungai Rembau yang melaluinya telah dikorek dan diluruskan serta tebatan banjir telah dilakukan.
     Menurut sumber lisan tempatan, Lubuk China mendapat nama dari kisah sekumpulan orang Cina yang sedang mudik menggunakan tongkang besar di sungai itu. Beberapa orang daripadanya telah terjun ke dalam sungai di bahagian yang dalam dengan begitu gembira sekali. Malangnya, beberapa orang daripadanya tidak keluar-keluar dari sungai tersebut. Beberapa usaha dilakukan oleh penduduk Melayu setempat. Akhirnya mayat mereka ditemui di sebuah lubuk di dalam sungai. Keadaaan mereka dalam keadaan berpelukan dan tidak bernafas lagi. Sejak itu, kawasan tersebut dinamakan Lubuk Cina.


Machap Baru


    Machap Baru merupaDkan sebuah pekan yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka.



Masjid Tanah

     Masjid Tanah merupakan sebuah pekan kecil di dalam daerah Alor Gajah iaitu terletak di utara Bandar Melaka.

     Namanya mendapat nama sempena sebuah masjid berlokasi di tengah-tengah pekan yang dibina daripada tanah di tepian sungai. Masjid Tanah suatu ketika dahulu adalah sebuah pekan hab-perdagangan yang dibawa daripada Kota Melaka ke daerah-daerah sekitar utara Negeri Melaka dan Alor Gajah dan juga sebaliknya. Masjid Tanah dihuni pelbagai lapisan masyarakat yang penduduk utamanya adalah berbangsa Melayu. Disebabkan lokasinya yang berda didalam Daerah Alor Gajah dan dekat dengan sempadan Negri Sembilan, sebilangan besar dari penduduk Masjid Tanah dan kampung-kampung sekelilingnya bertutur dalam loghat Negri sembilan atau loghat Minang.
     Pekan Masjid Tanah dipanggil 'SIMPANG' merujuk kepada pekan asalnya yang mempunyai 3 simpang (simpang tiga di hadapan Jam Besar Masjid Tanah). Antara kampung di sekitar pekan ini adalah Kg. Lekok, Kg. Paya Rumput, Kg. Jeram, Kg. Pulau, Kg. Ayer Limau, Kg. Durian Daun, Kg. Londang, Kg. Solok Duku, Kg. Seri Tanjung, Kg. Pulau Semut dan lain-lain lagi.

      Ada antara penduduknya yang bekerja di Bandaraya Melaka yang jaraknya hampir 40 km. berhampiran Masjid tanah juga terdapat kem-kem tentera yang mana anggota tentera dan keluarga mereka turut tinggal disekitar Masjid Tanah. Kem-kem tentera yang dimaksudkan adalah Kem Masjid Tanah (dikenali oleh orang kampung sebagai Kem Peluru atau Gudang Peluru), Kem Terendak dan Kem Sungai Udang (Kem Komando). Terdapat banyak juga institusi pendidikan yang berada dikawasan Masjid Tanah seperti UiTM Melaka di Lendu, Kolej Matrikulasi Melaka di Londang, IKBN di Ramuan China, Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Air Molek, Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Kuala Linggi, Kolej Komuniti di Paya Rumput dan MRSM Alor Gajah di Ayer Paabas.



Melaka Pindah

     Melaka Pindah merupakan sebuah pekan yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka.



Merlimau

     Merlimau adalah sebuah pekan yang terletak di tengah perjalanan antara Bandaraya Melaka dan Bandar Muar, Johor. Jaraknya adalah kira-kira 23 km dari Bandaraya Melaka dan Muar serta 22 km selatan dari bandar Jasin. Dahulu pekan ini adalah simpang empat yang sibuk kerana ia menghubungkan Melaka, Muar, Jasin dan perkampungan Batu Gajah. Semenjak jalan pintas Melaka-Muar dibuka pada sekitar tahun 1970an, pekan ini agak lengang.

     Merlimau dapat dikunjungi dari Bandaraya Melaka sekitar 20-30 minit dari susur keluar Merlimau Jasin di Lipat Kajang, jika anda menggunakan lebuhraya PLUS. Anda mungkin memerlukan masa yang lebih panjang jika menggunakan jalan persekutuan dari Melaka atau Muar. Ada dua syarikat bas yang memberikan perkhidmatannya dari Melaka Sentral menggunakan jalan tersebut iaitu syarikat bas MOS dan Kenderaan Aziz. Jalanraya 4 lorong Simpang Ampat-Melaka-Muar telah siap yang dikenali dengan nama Lebuh AMJ, persimpangan yang menghubungkannya dengan pekan Merlimau hanya di sekitar 3 kilometer dari pekan tersebut.
      Terdapat beberapa kemudahan awam di pekan Merlimau. Antaranya Balai Bomba dan Penyelamat, pusat kesihatan, klinik persendirian, perhentian bas dan pejabat pos. Balai polis pula sekitar 1 kilometer di selatan, di sebelah jalan menuju ke Muar. Kemudahan ATM BSN Giro terdapat di Jalan Batu Gajah sementara ATM Mayban di luar pekan, iaitu di jalan masuk Taman Debunga.

     Terdapat beberapa tempat bersejarah bagi Merlimau. Antaranya rumah Penghulu Nattar. Di Kampung Simpang Laut, pengunjung boleh melawat makam Tun Teja. Sejarah Tun Teja bertautan dengan era Kesultanan Melaka. Untuk makan malam, pelawat boleh mengunjungi medan ikan bakar di Serkam (sejauh sekitar 5 kilometer) atau Umbai (sejauh sekitar 10 kilometer). Terdapat sebuah rumah rehat berhampiran dengan pekan untuk mereka yang hendak bermalam di sana.
     Ada lagi potensi pelancongan yang belum dibangunkan. Antaranya hutan paya bakau. Jika chalet penginapan didirikan, ia boleh memberikan pengunjung suasana yang berbeza. Hutan paya bakau sudah tidak banyak kelihatan di Melaka kerana keperluan tanah untuk pembangunan. Namun di sini ia boleh di dapati di sepanjang 6 kilometer pantai landai dan berlumpur dari Pengkalan Samak sehingga muara Sungai Kesang yang memisahkan Johor dan Melaka. Terdapat sedikit gangguan, tetapi secara keseluruhannya masih terpelihara. Pengunjung juga boleh melihat projek akua-kultur ternakan kupang di Sebatu.



Nyalas


Nyalas merupakan sebuah pekan yang terletak di daerah Jasin, Melaka.Nyalas mendapat nama dari daun Palas yang banyak terdapat di kawasan ini suatu masa dahulu. Kawasan Nyalas ini terbahagi kepada 5 solok iaitu Solok Gapis, Solok Mantai, Solok Ayer Repat, Solok Palembang dan Kampung Baru.
     Terdapat 3 buah taman perumahan di Pekan Nyalas. Kampung ini terkenal dengan limau bali Nyalas. Untuk makluman, pasar malam diadakan pada setiap hari Jumaat di jalan menghala ke Felda Bukit Senggeh.


Pulau Sebang

Pulau Sebang merupakan sebuah pekan yang terletak dalam daerah Alor Gajah, Melaka. Jarak antara bandar Alor Gajah dan Pulau Sebang sejauh 9 kilometer manakala dari bandaraya Melaka 29 kilometer.
     Uniknya Pulau Sebang ialah kerana ia bersambung dengan Bandar Tampin, Negeri Sembilan. Malah sempadan antara Negeri Melaka dan Negeri Sembilan terletak di lampu isyarat di tengah bandar Pulau Sebang dan Tampin. Orang luar yang datang ke Bandar Pulau Sebang seolah-olah tidak menyedari mereka telah pun berada di Negeri Melaka kerana merasakan mereka berada di bandar Tampin, Negeri Sembilan.


Ramuan China

     Ramuan China merupakan sebuah pekan yang terletak di negeri Melaka. Ia terletak di kawasan parlimen Masjid Tanah.



Selandar

     Selandar merupakan sebuah kawasan dalam daerah Jasin. Jaraknya dari Pekan Jasin 12 kilometer. Selandar boleh dihubungi dengan kereta api di Stesen KTMB Batang Melaka sempadan Melaka dan Negeri Sembilan hanya 10 kilometer sahaja dari Pekan Selandar.
     Pada tahun-tahun 1950an hingga akhir 80-an pengangkutan kereta api amat popular bagi penduduk Selandar untuk ke lain-lain negeri.


Serkam

     Serkam ialah sebuah pekan di Melaka. Ia terletak di laluan Jalan Raya Persekutuan 5, dari Johor Bahru-Batu Pahat-Muar-Melaka. Jaraknya ke Bandaraya Melaka 18 kilometer, dan dari Jasin 24 kilometer dari Muar 27 kilometer.vPekan yang berhampiran adalah Merlimau. Jaraknya 5 kilometer ke Merlimau.
     Mengikut sejarah tempatan, adapun Kampung Serkam ini diambil namanya daripada sekam padi. Kata orang tua-tua “ikutlah resmi padi, jangan ikut resmi lalang”. “Ada padi serba jadi,ada beras serba deras”.


Simpang Ampat

     Simpang Ampat atau Simpang Empat atau Sempang Ampat merupakan sebuah pekan yang terletak di Melaka. A' Famosa Resort juga terletak di sini. Terdapat laluan susur keluar dari Lebuhraya Utara Selatan ke Simpang Ampat untuk pengguna pergi Alor Gajah dan Tampin, Negeri Sembilan.



Sungai Rambai

     Sungai Rambai terletak di Merlimau, dalam daerah Jasin, Melaka. Terdapat sebuah pelabuhan 'barter' di sini. Pekan kecil ini menjadi pintu masuk ke Melaka yang bersempadan dengan Muar, Johor. Sungai Rambai dipisahkan daripada Muar oleh sungai Kesang. Kini pekan ini boleh dihubungi dengan lebih mudah melalui lebuh AMJ yang menghubungkan Alor Gajah-Muar. 
     Perjalanan dengan kereta dari bandar Melaka ke pekan ini kira-kira 30 minit. Antara kampung yang berhampiran dengan pekan ini ialah Batu Gajah, Sebatu, Parit Putat, Parit Perawas ,Parir Sialang , Parit Sidang Seman , Parit Gantong , Jalan Tambak Merah, Jalan Gafar dan Parit Penghulu.


Sungai Udang

     Sungai Udang adalah sebuah perbandaran yang semakin pesat membangun di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Kedudukannya yang amat strategik, terletak di antara laluan persekutuan utama menghubungkan Bandar Melaka dan Masjid Tanah.
     Sungai Udang dikelilingi dengan beberapa kawasan penempatan seperti kampung Paya Rumput Jaya, Bertam Ulu, Pantai Kundor dan Tangga Batu.
Kem Terendak yang merupakan kem tentera yang di bina sepenuhnya kerajaan komonwel di Malaysia juga terletak di Sungai Udang. 

     Sungai Udang juga dikenali sebagai "Home of the Commandos" kerana di sinilah bermulanya sejarah Regimen Gerak Khas iaitu sebuah pasukan komando elit Angkatan Tentera Malaysia, Pusat Latihan Peperangan Khas (Special Warfare Training Centre) telah ditubuhkan di Sungai Udang. Masih kekal dengan fungsinya melatih anggota komando yang siap siaga serta mahir melakukan aktivti di udara, di dalam laut dan tentunya di darat hingga ke hari ini.

     Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lanskap pembangunan Sungai Udang semakin pesat berubah dengan terbina dan bermulanya operasi Loji Penapisan Kedua Petronas Fasa I dan Fasa II (PSR I & PSR II) yang merupakan antara yang terbesar seumpamanya di sebelah pantai barat. Fasa III masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2012. Pelabuhan Sungai Udang yang dikendalikan Petronas Sungai Udang Port Sdn Bhd juga telah memperkenalkan lagi nama Sungai Udang di peta maritim antarabangsa.

     Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang yang baru dibina juga bakal menjadi salah satu mercu tanda baru bagi bandar kecil yang serba lengkap ini.
Mengikut kisah masyarakat tempatan, asal-usul nama Sungai Udang diperolehi dari nama sebatang sungai yang mengalir di kampung ini. Peranan sungai tersebut yang penting dalam mengairi kawasan pertanian dan pengangkutan, kononnya juga terdapat banyak udang pada ketika itu.

     Sungai Udang juga mempunyai sebuah masjid bersejarah yang telah dibina pada tahun 1810 masihi.Sungai Udang juga telah terkenal sebagai antara pusat pendidikan pondok di sebelah pantai barat semenanjung. Pada 8 Rejab 1358 (12 Ogos, 1940), Tuan Guru Muallim Haji Wahid telah mendirikan pondoknya iaitu Madrasah An-Nuriah An-Diniah di Paya Rumput, Melaka. (Berhampiran dengan Petronas Penapisan Sg. Udang).

     Pondok ini telah mendapat sambutan hebat pada 1950-an di mana terdapat hampir 100 buah pondok dengan lebih 350 orang pelajar. Pada 1962, madrasah ini telah mendirikan asrama untuk anak yatim lelaki di Sungai Udang, manakala anak yatim perempuan kekal di Paya Rumput.

     Muallim Haji Wahid mengajarkan ilmu fiqh, tasawuf, nahu, saraf, tauhid, tafsir dan hadis di kedua-dua asrama ini. Pada 1971, sistem pengajian akademik diperkenalkan di madrasah ini di sebelah pagi, manakala pengajian pondok pada sebelah petang dan mendapat bantuan Majlis Agama Islam Melaka.

     Muallim Haji Abdul Wahid juga terkenal kerana kehidupan sufinya. Beliau dikenali kerana warak, tawaduk dan qanaah sehingga dianggap sebagai wali Allah.
Majoriti penduduk Sungai Udang adalah tentera, keluarga tentera dan bekas tentera kerana terdapat dua kem tentera iaitu Kem Terendak dan Kem Sungai Udang. Kem Terendak adalah kem terbesar di Melaka dan jumlah tentera yang terdapat di Kem Terendak adalah terbanyak berbanding mana-mana kem di Malaysia. Sungai Udang juga dikenali sebagai PEKAN TENTERA.

Perhubungan

  • Sungai Udang dihubungkan melalui jaringan Laluan Persekutuan 5 dan sebuah lebuh raya tidak bertol M17 sepanjang 21 km dari Ayer Keroh.
  • Melalui Lebuhraya Utara Selatan dari Kuala Lumpur keluar Tol Simpang Ampat, Alor Gajah terus arah ke Bandar Melaka melalui Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) hingga persimpangan bertingkat Cheng, susur ke kanan menuju Pekan Sungai Udang (10 km).
  • Dari Johor Bahru keluar Tol Air Keroh, 500 meter ambil susur kiri melalui Lebuhraya Air Keroh-Sungai Udang terus menuju Pekan Sungai Udang (21 km).


Tanjung Bidara

Tanjung Bidara merupakan sebuah pantai yang terkenal di negeri Melaka dalam daerah Alor Gajah. Pantai Tanjung Bidara terletak bersebelahan dengan Kem Terendak, sebuah kem tentera. Pantai yang terletak 10 km dari bandar Masjid Tanah ini merupakan pantai perkelahan yang terkenal di negeri Melaka. Selain itu terdapat juga Pantai Padang Kemunting dan Pantai Pengkalan Balak yang berdekatan dengan Pantai Tanjung Bidara.

     Pengunjung ke Pantai Padang Kemunting akan berpeluang melihat penyu karah, spesies yang hampir pupus. Pusat Penetasan Penyu Jabatan Perikanan di Padang Kemunting berperanan dalam menyelamat dan melindungi penyu karah ini. Pantai Pengkalan Balak pula merupakan kesinambungan dari Pantai Tanjung Bidara.
     Berdekatan pantai terdapat Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang menempatkan Balai Cerap, Planetarium, Pusat Latihan Falak dan Balai Cerap Robotik.

Tempat menarik

  • Kompleks Falak Al-Khawarizmi
  • Pantai Tanjong Bidara
  • Pantai Padang Kemunting
  • Pantai Pengkalan Balak

Penginapan

  • Tanjung Bidara Beach Resort, Pantai Tanjung Bidara
  • Kemunting Beach Resort, Jalan Padang Kemunting
  • D'Nelayan Beach Resort, Kampong Padang Kemunting
  • Ismah Beach Resort, Pantai Padang Kemunting
  • Angin Laut Chalet, Pengkalan Balak


Tanjung Kling

     Tanjung Kling merupakan sebuah pekan bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Ia menempatkan makam Hang Tuah yang terletak di sini. Pantai-pantai yang terdapat di sini ialah Pantai Kundur dan Pantai Puteri



Tanjung Tuan


     Tanjung Tuan terletak di Negeri Sembilan,tetapi di bawah pemerintahan negeri Melaka. Tanjung Tuan menghadap ke Selat Melaka. Ia terletak kira-kira 16 km dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Asal-usul

Nama lain Tanjung Tuan ialah Cape Richardo. Tanjung Tuan dikaitkan dengan seorang nelayan yang juga keramat yang menjaga dan mengawasi puncak Tanjung Tuan.

     Kehebatan keramat ini bermula apabila berjaya melepasi pusaran ganas di tengah laut terutama sekali pada bulan mengambang. Semua nelayan yang cuba melintasi pusaran ganas tersebut akan tenggelam dan hilang begitu sahaja tetapi nelayanyang keramat ini berjaya melintasinya. 

Dari segi geografi, Tanjung Tuan menempatkan :
  • Hutan Lipur Tanjung Tuan
  • Rumah Api Tanjung Tuan
  • Laluan burung

hutan Lipur Tanjung Tuan


     Hutan Lipur Tanjung Tuan ini termasuk dalam Rezab Hidupan Liar Tanjung Tuan, Melaka . Kadang kala ia dikenali sebagai Hutan Rekreasi Tanjung Tuan atau Perlindungan Hidupan Liar, Marine Park Negeri Melaka.

     Rimba Tanjung Tuan kaya dengan pelbagai alam fauna dan floranya. Ia merupakan tempat persinggahan 300,000 ekor burung setiap tahun. Dianggarkan terdapat 54 spesies burung menghuni rimba ini. 
     Pada 5 Januari 1971, 60.70 hektar (140.06 ekar) daripada kawasan Hutan Kekal Tanjung Tuan telah diwartakan sebagai Kawasan Hidupan Liar dan Burung-Burung di bawah Ordinan Perlindungan Binatang liar dan Burng-Burung di bawah kuasa Jabatan Perhilitan. Kawasan ini telah bertindih dengan Kawasan Hutan Simpan Kekal di bawah kuasa Jabatan Hutan Negeri Melaka.

     Pada 1.1.1971 Ordinan Perlindungan Binatang Liar dan Burung No. 2/195 telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.
Luas kawasan hutan simpan ini ialah 60.75 hektar. Ia merupakan Hutan Dipterokap Bukit Pantai yang masih wujud di Malaysia.

Antara pokok yang banyak di hutan simpan ini ialah
  • Pokok Mengkulang Siku Keluang - h.simpicifolia
  • Pokok Meranti Tembaga - Shorea leprosula

Laluan Burung


Dari segi ekologi, saintis mempercayai Tanjung Tuan merupakan jambatan bagi pengaliran baka flora dan fauna dari Tanah Besar benua Asia ke Kepulauan Indonesia. 

     Kawasan ini adalah dijadikan sebagai kawasan laluan yang sangat penting untuk perjalanan burng-burung berhijrah dari Benua Asia ke Kepulauan Indonesia.
Kawasan ini adalah dijadikan kawasan laluan yang sangat penting untuk perjalanan burung-burung berhijrah dari Benua Asia ke Selatan serta daripada Selatan balik ke Benua Asia.

     Terdapat 54 spesies burung liar yang terdiri daripada burung tempatan dan burung berhijrah dan 3 spesies primate.

Antara tempat persinggahan burung-burung ini di benua Asia ialah:
  1. Moroshechnaya Estuary
  2. Yatsu Tidal Flats
  3. Yoshino estuary
  4. Shuangtaizi estuary
  5. Yello River Delta
  6. Mai Po - Inner Deep Bay
  7. Olango Island
  8. Wasur National Park
  9. Parry Lagoons
  10. Thompsons Lake
  11. Moreton Bay
  12. Koorangang Nature Res
  13. Corner Inlet
  14. Hongming Dongtan
  15. Yalu Jiang
  16. Yangcheng
  17. Tokyo Port Wild Bird
  18. Wstern Port
  19. Port Philip Bay
  20. Dalihu
  21. Kashima Shingomori
  22. Sungei Buloh
     Burung layang-layang dari Sumatera datang dalam bulan Februari dan Mac. Sekitar 1800 hingga 2000 burung datang dalam sehari.
Antara burung yang singgah dalam laluan tersebut ialah
  • Black baza ( Aviceda leuphotes ) atau Burung Lang Baza Hitam
  • Grey-faced buzzard ( Bustastur indicus ) atau Burung Helang Kepala Kelabu
  • Chinese Goshawk ( Acipiter soloensis ) atau Burung Lang Sewah Cina ) atay Chinese Sparrowhawk
  • Crested Honey-Buzzard ( pernis ptilorhynchus ) atau Burung Helang Lebah
  • Japanese Sparrowhawk ( Accipiter gularis ) atau Burung Lang Sewah Jepun


Telok Mas

      Telok Mas merupakan pekan yang terletak di daerah Melaka Tengah.Jarak perjalanan ke Bandaraya Melaka kira-kira 10km.




Umbai

  
     Umbai merupakan sebuah bandar antara sempadan Jasin-Melaka Tengah di Melaka. Umbai terkenal dengan tempat makan ikan bakar yang terkenal di Melaka. Di sini terdapat Medan Ikan Bakar Terapung yang telah dibina oleh kerajaan Melaka.

     Umbai juga terkenal dengan keindahan sebuah kampung yang bernama Kampung Bernagan 6.Kampung ini telah terpilih sebagai kampung Homestay bagi negeri Melaka.
      Di kampung ini terdapat satu Persatuan Seni Silat yang bernama Persatuan Seni Silat Gerak Tepat.Persatuan ini adalah penyambung bagi warisan keperwiraan penduduk terdahulu kampung ini. Di sini juga terdapat jeti kecil untuk kemudahan pelancong untuk ke Pulau Besar.



Pulau Besar

     Pulau Besar dikenali sebagai pulau keramat, pulau fantasi merupakan pulau yang yang terletak di negeri Melaka, Semenanjung Malaysia. Pulau Besar terletak di Selat Melaka, kira-kira 3 batu nautika dari Bandar Hilir, Melaka.

     Terdapat 2 cara jika anda ingin kesana. Anda boleh menaiki feri dari Jeti Anjung Batu atau menaiki bot laju dari Jeti Umbai. Perjalanan dengan feri adalah berjadual manakala bot laju pula masa perjalanan pergi/balik bergantung kepada pasang surut laut dan masa yang ditetapkan sendiri oleh penumpang.


Aktiviti yang boleh dijalankan

  • Bersiar-siar di sepanjang pasir pantai yang putih
  • Berenang
  • Kembara hutan.
  • Memancing
  • Menziarah makam-makam
    Pulau Besar adalah merupakan sebuah tempat yang banyak dikaitkan dengan kisah mistik dan lagendanya. Ianya merupakan satu tempat yang bersejarah khususnya dengan kisah awal penyebaran Agama Islam dinusantara. Ianya menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara. Kini, Kerajaan Negeri Melaka sedang membina sebuah muzium yang memaparkan kisah-kisah awal dan lagenda Pulau Besar.

      Muzium Pulau Besar ini dijangka akan dibuka pada penghujung tahun ini. Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM)juga telah mengambil alih dan membaik pulih beberapa buah makam di pulau ini.
Selain dari menziarahi Makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail, terdapat banyak lagi makam-makam dan tempat-tempat yang menjadi tarikan utama disini, antaranya :-
  • Makam Syarifah Rodziah
  • Makam Tok Janggut
  • Makam Tok Putih
  • Perigi di Kaki Pulau
  • Batu Belayar@Batu Penambat Kapal
  • Batu Tengkorak
  • Pokok Disula
  • Tasik Biawak
  • Batu Belah
  • Keramat Masin Tawar
  • Istana Bunian
  • Perkampungan Bunian
  • Tasik Bunian
  • Gua Yunus
  • Keramat Ular
  • Makam Nenek Kebayan
  • Perigi Tempayan Pecah
  • Makam Tujuh Beradik
  • Makam Seribu
  • Makam Nisan Satu
  • Perigi Nenek Musallimah
  • Tapak Kaki Sultanul Aarifeen
  • Batu Lesung

Makam Sultanul Ariffin

      Nama sebenar Sultanul Aarifeen ialah Sheikh Ismail Abdul Qadir (qaddasallahu sirrahu). Beliau adalah keturunan yang ke 18 Rasullullah (S.A.W) dari nasab keturunan Saidina Hassan (r.a). Beliau juga adalah merupakan cicit kepada Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani.

      Sultanul Ariffin adalah nama yang digelarkan oleh orang ramai terhadap Sheikh Ismail Abdul Qadir. Gelaran tersebut membawa maksud 'Penghulu Orang-Orang Yang Arif'. Sheikh Ismail Abdul Qadir telah dilahirkan pada 17 Rabiul Awal tahun 867H di Baghdad. Bapanya bernama Sheikh Abdul Qadir dan ibunya bernama As Sayyidah Fatimah.

     Beliau mempunyai ilmu yang tinggi dalam islam. Menurut riwayat sewaktu beliau ke Madinah menziarah makam Nabi, beliau telah didatangi satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan ilmu Islam di kepulauan Jawa. Sebagai seorang yang taat kepada agama beliau menunaikannya dan beliau telah mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama dengan 43 orang ahli dalam kumpulannya. Di antara orang yang penting dalam kumpulan itu ialah gurunya Sheikh Yusuf Siddiq dan saudaranya Sheikh Ibrahim Abdul Qadir.

     Di Pulau Besar ilmunya telah berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai. Sultanul Ariffin telah meninggal dunia pada 17 Rabiul Awal tahun 925H ketika beliau berusia 58 tahun. Selain dari beliau, di situ juga termakam antara 41 hingga 43 orang pengikut-pengikut beliau yang lain. Beliau mempunyai seorang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan. Sehingga kini makam Sultanul Ariffin terus menjadi tumpuan dan diziarahi oleh orang ramai.

Tapak kaki Sultanul Aarifeen

Tapak kaki ini terletak di dalam kawasan D'Puteri Kurnia Resort. Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa ini adalah tapak kaki Sultanul Ariffin. Tapak kaki yang kelihatan di gambar adalah tapak kaki sebelah kanannya. Manakala tapak kaki kirinya terdapat di Pulau Serimbun.

Perigi di kaki pulau

Perigi ini dipercayai digunakan oleh tentera Jepun untuk memancung kepala orang-orang Cina. Kepala yang telah dipancung akan dilemparkan ke dalam perigi ini. Perigi ini tidak pernah digunakan orang sehingga sekarang.

     Di kawasan sekitar perigi ini merupakan kawasan Panglima Hitam. Wajah serta anggota tubuhnya dipercayai berwarna hitam. Di kawasan ini juga merupakan salah satu tempat yang amat keras terutamanya pada waktu senja. Pernah suatu ketika dahulu sepasang kekasih duduk berdua-duaan di kawasan ini dan wanita tersebut diserang histeria.

     Sehingga kini, sesiapa sahaja yang bukan muhrim dilarang sama sekali ketika waktu senja duduk berdua-duaan di kawasan ini.

Batu belayar

     Sebuah batu yang sederhana besar berbentuk seperti kepala kuda. Batu ini dikatakan pada asalnya terletak di dalam laut. Kemudian ia terapung-apung di dasar laut dan tersangkut di pulau ini.

     Dipercayai batu ini juga digunakan oleh 7 beradik untuk mengikat tali kapal mereka sebaik sahaja mereka berlabuh di Pulau Besar ini.

     Kini batu ini masih jelas kelihatan sebaik sahaja sampai di pulau ini. Ia terletak berhampiran dengan Jeti Pulau Besar.

Batu Tengkorak

     Batu ini terletak di kawasan Pandanusa Golf Club dan berhampiran dengan pantai. Jika dilihat dengan teliti, batu ini seakan-akan menyerupai tengkorak manusia dan terdapat kesan belahan empat segi yang dipercayai telah dibelah oleh orang dahulu kala untuk mendapatkan harta karun di dalamnya. Namun usaha mereka gagal dan mereka menampal semula batu tersebut.

    Batu ini juga pernah dirancang untuk diletupkan tetapi usaha itu hanyalah sia-sia sahaja kerana batu itu sedikitpun tidak terbuka.Sehingga kini, sesiapa sahaja yang bukan muhrim dilarang sama sekali ketika waktu senja duduk berdua-duaan di kawasan ini.

Keramat Masin Tawar

     Sebuah lopak air yang seakan-akan menyerupai perigi lama yang terletak berhampiran dengan pantai. Apabila air laut surut, airnya akan menjadi tawar. Dipercayai suatu ketika dahulu, perigi ini digunakan untuk mendapatkan harta karun. Keramat ini dijaga oleh seorang puteri bunian yang bernama Puteri Nilam.

     Airnya dikatakan mempunyai pelbagai azimat yang tertentu samada untuk dijadikan minuman, mandi atau untuk dibuat pelaris. Dipercayai juga, jika niat tidak baik kita tidak akan merasai air yang tawar meskipun air laut telah surut.

Istana Bunian

     Terletak di tengah-tengah perkampungan bunian. Sebuah kawasan tanah tinggi yang tidak dapat ditolak oleh jentera biasa. Kawasan ini ingin dimajukan oleh pihak Marina Resort tetapi sehingga kini projek itu tidak dapat diteruskan.

     Menurut sumber dari pihak pengurusan Marina Resort, jentolak yang ingin menolak jentera tersebut telah meletup sewaktu kerja-kerja meruntuhkan tanah tersebut sehingga menyebabkan pemandunya meninggal dunia.

Perkampungan bunian

     Sebuah kawasan yang terdapat di Marina Resort dan dipercayai satu perkampungan orang-orang bunian. Kawasan sebenarnya ingin dimajukan tetapi disebabkan masalah ekonomi dan masalah jerebu yang melanda pada tahun 1997-1999, maka pembinaannya tidak dapat diteruskan.kawasan tersebut juga terdapat telaga dan tasik bunian. 

     Telaga tersebut juga dipercayai merupakan telaga pertama di pulau hasil munajat pak syeikh bagi mendapatkan bekalan air tawar sehingga kini malah air tersebut juga apabila di minum amat menyegarkan.

     Menurut cerita, sebenarnya terdapat sejumlah 146 buah kampung orang bunian di kawasan Pulau Besar ini tetapi kawasan ketara yang boleh dilihat hanyalah di kawasan Marina Resort ini sahaja.

Pokok disula

Pokok ini terletak di kelab golf. Menurut apa yang telah diceritakan, dahulu terdapat sepasang kekasih sedang bercengkarama di bawah pokok ini. Maka di atas keterlanjuran mereka itu, mereka telah ditangkap dan di sula di bawah pokok tersebut.

     Jika diamati dengan teliti, kita akan dapati tangan kiri lelaki tersebut sedang memeluk pasangannya di bawah pokok tersebut.

Tasik biawak

     Sebuah tasik biasa buatan manusia yang terletak di padang golf. Tasik ini dipenuhi dengan biawak-biawak yang luar biasa besarnya. Biawak-biawak ini singgah di tasik tersebut untuk memakan ikan-ikan yang ada di dalamnya.Di dalam tasik biawak ini juga terdapatnya batu yang berbentuk tengkorak manusia.

Batu Belah

     Sebuah batu besar setinggi 3 meter dan mempunyai rekahan di tengah-tengahnya selebar lebih kurang 35 cm dengan kedalaman sejauh 1.5 meter adalah hasil belahan Panglima Lidah Hitam.

     Ratusan tahun dahulu, sekumpulan pendekar dan pahlawan menunjukkan kehebatan ilmu masing-masing. Ada yang membelah dan menebang pokok besar dengan sekali cantas dan ada yang membelah bukit dengan sekali imbas dan bermacam-macam lagi. Sehingga pada suatu waktu seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Lidah Hitam merasa tercabar dengan kekuatan kawan-kawannya itu. Beliau menghampiri batu besar tersebut dan menjelirkan lidahnya yang hitam itu lalu membelah batu tersebut.

     Masyarakat kini datang ke tempat tersebut dengan membawa pelbagai hajat. Mereka akan masuk ke dalam batu tersebut dengan melalui bahu sebelah kiri dan berjalan secara mengiring kemudian apabila sampai di penghujung rekahan capailah dengan tangan kanan.

Gua Yunus

     Nama Gua Yunus diambil sempena nama orang yang pertama menjumpai dan menjadikan gua ini sebagai tempat pertapaan. Sehingga sekarang gua ini masih lagi digunakan orang sebagai salah satu tempat untuk bertapa. Untuk masuk ke dalam gua ini, ahli pertapaan terpaksa menyelam ke dalam air kerana kedudukan pintu gua ini sebenarnya terletak di dalam air. Dipercayai batu dinding gua ini semuanya berwarna putih.

Keramat Ular

     Dipercayai keramat seorang wali Allah yang menjelma sebagai seekor ular sawa. Barang siapa yang bernasib baik, dipercayai akan berjumpa dengan wali Allah tersebut yang membawa guni berisi arang. Apabila sampai di rumah, arang itu akan bertukar menjadi barang yang berharga.

     Di sekeliling kawasan keramat ular terdapat pokok pandan yang boleh digunakan untuk membuat tikar.

Makam Nisan Satu

     Makam ini terletak berhampiran dengan Batu Tengkorak. Keanehannya, makam ini hanya terdapat satu batu nesan sahaja. Ia dipercayai makam seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan umur 18-19 tahun yang sangat kacak dan tampan. Namanya tidak dapat dikenalpasti.

Perigi Nenek Musallimah

     Dipercayai nenek yang tertua yang terdapat di Pulau Besar ini. Beliau juga merupakan seorang dukun dan bidan. Air perigi ini mempunyai azimat yang tertentu seperti untuk menyihatkan tubuh badan, pelaris dan boleh juga digunakan sebagai mandi bunga. Perigi ini terletak di dalam kawasan Pusat Latihan IMM dan bersebelahan dengan Chalet 007.

Makam Syarifah Rodziah

     Wali perempuan ini sebenarnya bernama Syarifah Habsah, makam beliau terletak di pulau besar, berdekatan pintu masuk halaman menuju ke surau dan makam Sultanul Aarifeen. Syarifah Habsah adalah puteri iaitu anak perempuan Sultanul Aarifeen As Sayyid Ismail. Beliau sebenarnya mempunyai 3 orang anak, iaitu seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Saudari kandung Syarifah Habsah ialah Syarifah Rodziah, dan makam Syarifah Rodziah terletak di Pekan Melaka.

Batu Lesung

     Batu Lesung atau Batu Putih ini merupakan satu batu yang berbentuk seakan-akan lesung. Untuk sampai ke Batu Lesung, orang ramai terpaksa melalui kawasan batu karang ketika air laut surut sepertimana yang terdapat di dalam gambar.

     Manakala ketika air laut pasang, orang ramai terpaksa meredah air laut untuk sampai ke Batu Lesung ini. Ia terletak di tengah-tengah laut. Dikatakan bahawa pokok yang terdapat di tengah-tengah batu lesung tetap sama saiznya walau pun telah bertahun-tahun lamanya.



Pulau Undan

     Pulau Undan terletak di Selat Melaka, berhadapan dengan negeri Melaka.



Pulau Upeh

     Pulau Upeh terletak di Selat Melaka, berhadapan dengan negeri Melaka, Malaysia. Melaka mengumumkan bahawa Pulau Upeh, kawasan pantai penetasan utama penyu karah akan dibangunkan.Pada 27 Julai 2009, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma membantah usaha untuk membangunakan Pulau Upeh.Sebarang penambakan tanah di atas atau berhampiran dengan pulau akan memberikan kesan yang tidak baik kepada penyu. Pemuliharaan penyu karah di Pulau Upeh bergantung pada perlindungan undang-undang di seluruh pulau.