IKLAN PENAJA

MUZIUM

        



 Stadthuys


     Bangunan Stadhuys serba merah dan dilengkapi sebuah menara jam.'Bangunan Stadthuys' ("dewan perbandaran" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.
     Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan, yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.
     Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, Encik J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten. Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah Encik T.H. Moore.
     Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.
     Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.     Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi, dan Muzium Yang Di-Pertua Negeri. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.






Muzium Rakyat


     Muzium Rakyat, Kecantikan, dan Galeri layang-layang, Melaka.Muzium Rakyat merupakan bangunan Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) sebelum diambil alih oleh PERZIM. Muzium Rakyat yang terletak di aras 1 bangunan ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 15 April 1992.
     Bangunan Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) ini diambil alih oleh PERZIM. Muzium Rakyat yang terletak di aras 1 bangunan ini dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 15 April 1992.
     Pameran muzium meliputi aspek pentadbiran, perumahan, sosial, perindustrian, pelancongan, infrastruktur dan pertanian. Ia digarap begitu rupa untuk penglibatan rakyat dan kerajaan dalam memajukan Melaka. Kecemerlangan Melaka diabadikan dalam 'Pameran Melaka Sedekad'.
     Antara objektifnya adalah mempamerkan isu-isu istimewa menarik berkaitan dengan pertumbuhan sosio-ekonomi dari zaman Melaka hingga tahap "Kegemilangan Melaka" dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan, sosial, pelancongan, perindustrian dan sebagainya serta hubungan kerajaan-rakyat. Terdapat juga Muzium Kecantikan dan Muzium Layang-layang masing-masing didapati di tingkat 2 dan tingkat 3.

Bayaran Masuk

Dewasa : RM2 Kanak-kanak/Pelajar:50 sen

Waktu Operasi

9 pagi -6 petang(Ditutup pada hari Isnin)




Muzium Belia Malaysia

      Muzium Belia Malaysia terletak di No. 430, Jalan Laksamana, Melaka. Bangunan ini terdahulu menempatkan Pejabat Pos Besar, Melaka. Muzium ini berfungsi sebagai pusat dokumentasi kegiatan belia yang mempamerkan bahan-bahan dan maklumat yang berkaitan dengan aktiviti Persatuan Belia di Malaysia dan antarabangsa.
     Bahan utama pameran adalah gambaran tokoh-tokoh pemimpin belia, piala, pakaian seragam dan sebagainya.Muzium Belia Malaysia telah dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohammad,Perdana Menteri Malaysia pada 15 April 1992. Bangunan Ini pada asalnya merupakan sebahagian daripada kompleks Pejabat Pentadbiran Belanda. Ia dijadikan sebagai Sekolah Anglo-Chinese (sekarang dikenali sebagal Sekolah Tinggi Melaka).

Objektif Penubuhan

     Untuk mewujudkan satu pusat dokumentasi kegiatan belia yang induk bagi tujuan kajian dan informasi. Untuk menyimpan segala rekod dan butir kegiatan belia secara sistematik dan teratur yang mengandungi sejarah penubuhan kelab dan pertubuhan belia dari seluruh negara. Untuk menimbulkan kesedaran masyarakat khususnya golongan belia mengenai sumbangan kegiatan belia kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Bayaran Masuk

Dewasa : RM1 Kanak-kanak/Pelajar:50 sen




Muzium Samudera


     Muzium Samudera berbentuk kapal Portugis, Melaka.Muzium Samudera merupakan replika kapal Flor de La Mar yang dibina pada awal tahun 1990 dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Jun 1994.
     Muzium Samudera terletak di Jalan Quayside berhampiran muara Sungai Melaka. Dibina berdasarkan replika Kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar.
     Fokus utama muzium ini ialah sejarah kelautan Melaka dan zaman kegemilangan Melaka sebagai Emporium Timur. Ia juga menyingkap pergolakan politik maritim di Melaka yang membuktikan bahawa hilangnya kuasa politik maka hilanglah segalanya.
Pameran di muzium ini memaparkan perkembangan perdagangan dari zaman kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman Kolonial Portugis, Belanda, Inggeris dan era penaklukan Jepun di Tanah Melayu. Turut dipamerkan ialah lukisan, peta lama, model kapal dan artifak berkaitan maritim dan perdagangan di Melaka.

Objektif penubuhan

     Untuk menggambarkan tentang peranan Melaka sebagai pusat perdagangan masa lampau dan perkembangan kegiatan maritim semenjak Tanah Melayu ditemui dan kemajuannya di zaman Kesultanan Melayu Melaka, penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris.

 Bayaran Masuk

Dewasa: RM 3.00
Kanak-kanak/Pelajar:RM 1.00

Waktu Operasi

Isnin hingga Khamis 9.00 pagi - 5.30 petang
Jumaat hingga Ahad 9.00 pagi - 9.00 malam
Tutup: Hari Raya Pertama Aidil Fitri dan Aidil Adha






Muzium Sastera

     Muzium Sastera terletak di bangunan lama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) iaitu berhampiran dengan Bangunan Stadthuys.Muzium terulung di Malaysia yang memberikan penekanan kepada sejarah penulisan dan pengkaryaan bermula dari era awal penulisan, Cerita-cerita Rakyat, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, Munsyi Abdullah sehingga ke tahap perkembangan Kesusasteraan Melayu Moden.
     Bahan-bahan pameran utama terdiri dari lukisan yang menggambarkan peristlwa-peristiwa penting berdasarkan petikan Sejarah Melayu dan bentuk-bentuk hukuman yang dilaksanakan menurut Hukum Kanun Melaka serta koleksi naskah manuskrip asal tulisan tangan dan seluruh pelusuk dunia.
     Penghormatan turut diberikan kepada penulisan berbentuk tradisional merangkumi pantun, gurindam, nazam dan puisi. Galeri Sasterawan Negara dan Penulis-penulis Melaka turut merupakan sebahagian tarikan utama untuk pelawat.

Objektif Penubuhan

     Untuk mempamer dan menggalakkan penghayatan masyarakat terhadap perkembangan dunia sastera dari dahulu sehingga sekarang serta kelahiran tokoh-tokoh kesusasteraan Melayu dengan karya yang bermutu.






Muzium Kecantikan

     Muzium Kecantikan terletak di Aras 2 Muzium Rakyat, Melaka. la telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1996.Pameran ini meliputi jangka masa yang panjang, dari zaman pra-sejarah hingga zaman moden. la menyingkap budaya kecantikan pelbagai masyarakat di serata pelusuk dunia. Kita dibawa melihat bagaimana setiap suku kaum mencipta keunggulan diri untuk kelihatan cantik pada kaca mata masyarakatnya walaupun terpaksa melalui pelbagai pantang larang dan menanggung kesakitan. Antara bentuk kecantikan ialah rajahan kulit atau tatu, memakai piring bibir, melonjongkan kepala dan membedung kaki.
Objektif Penubuhan
     Untuk membangkitkan kesedaran terhadap pentafsiran makna kecantikan yang ditinjau melalui perbandingan antara kebudayaan dan zaman yang berlainan. Untuk mempamerkan erti kecantikan dari pelbagai sudut menurut amalan budaya masyarakat dunia. Kecantikan diberi tafsiran baru berdasarkan kacamata masyarakat yang mengamalkan amalan hidup dan falsafah yang pelbagai.

Waktu Operasi

9 pagi - 6 petang (Ditutup pada hari Isnin)








Muzium TLDM

     Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terletak berhadapan Muzium Samudera (replika Kapal Flor De La Mar). Muzium yang dahulunya terletak di pengkalan TLDM di Lumut kini telah dipindahkan ke Melaka supaya lebih ramai pelawat dapat mengunjunginya bagi mendapatkan maklumat tentang peranan dan sumbangan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak TLDM. Muzium ini telah dibuka kepada orang ramai pada 28 Oktober 1995.
     Muzium ini memaparkan gambar Panglima TLDM, pingat kebesaran, pangkat, alat-alat senjata, pakaian seragam, peralatan komunikasi, peralatan keselamatan dan lambang yang diguna dalam pelayaran. Turut diperagakan ialah aktiviti pembangunan Angkatan Tentera Laut Malaysia.
Objektif Penubuhan
     Untuk memberi informasi kepada masyarakat tentang peranan, sumbangan, aktiviti-aktiviti senjata dan peralatan yang pernah dan sedang digunakan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia dalam mengawasi keselamatan perairan Malaysia. Sebagai gedung ilmu dan pusat dokumentasi sejarah penubuhan, kemajuan dan kegiatan TLDM sehingga kini.




Muzium Orang Asli

     Muzium Orang Asli terletak bersebelahan Taman Buaya, Ayer Keroh, Melaka. Muzium ini telah dibuka kepada orang ramai pada 3 Februarl 1997. Muzium ini mengkhusus kepada memperagakan bahan dan peralatan harian suku kaum asli seperti Senoi, Jah Hut dan Mah Meri.
     Terdapat lebih 5 buah galeri dan tema dipaparkan di Muzium ini seperti kaedah-kaedah menangkap ikan, peralatan pertanian, ruang dapur dan bilik tidur serta senjata-senjata yang digunakan. Antara bahan tarikan ialah peralatan di rumah, alat pemburuan, upacara sewang dan sebagainya. Muzium terbaik untuk memperkenalkan corak hidup dan kepercayaan masyarakat yang menyimpan seribu satu misteri.
     Muzium Orang Asli pada awalnya terletak di dalam Hutan Rekreasi Ayer Keroh di bawah pengawasan jabatan Perhutanan sebelum dipindahkan ke sebuah tapak baru bersebelahan Taman Buaya oleh Perbadanan Muzium Melaka pada Disember 1996 bagi meningkatkan sambutan orang ramai. Muzium ini diadaptasikan dari replika rumah orang asli yang terdapat di negara ini.

Objektif Penubuhan

  • Untuk mempamerkan warisan serta sosio-budaya masyarakat orang asli khususnya di negeri Melaka dan Malaysia amnya.
  • Mempamerkan cara hidup serta alat-alat yang digunakan sebagai keperluan harian antaranya ukiran patung, pakaian, alat memasak dan sebagainya.
  • Memelihara dan menjaga warisan budaya serta pusaka orang asli yang kian pupus ditelan arus pembangunan

Bayaran Masuk

Dewasa : RM1 Kanak-kanak/Pelajar:50 sen

Waktu Operasi

9 pagi - 5.30 petang (Ditutup pada hari Isnin)

Muzium Islam Melaka

     Penubuhan Muzium Islam Melaka bertujuan menjadikannya sebagai pusat pengumpulan, penyelidikan, pemuliharaan dan pameran koleksi bahan yang berorientasikan Islam sejajar dengan peranan Melaka sebagai Pusat Penyebaran Islam di Nusantara suatu ketika dulu dan perkembangan Islam di Malaysia dewasa ini.
     Muzium Islam Melaka ditempatkan di bangunan lama Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jalan Kota, Melaka. Rekabentuk dalaman muzium ini berkonsepkan imbasan suasana kegemilangan Islam di Melaka dan Nusantara dengan memaparkan gabungan identiti kesenian Islam secara global dan kesenian Islam di Nusantara khususnya Melaka.
     Kaedah pameran dan penyampaian maklumat pula diolah melalui lapan ruang pameran utama yang jelas turutannya dengan tema-tema tertentu. Ini untuk memudahkan para pelawat memahami mesej, perjalanan sejarah dan pengalaman yang ingin disampaikan.
Bayaran Masuk
Dewasa : RM1 Kanak-kanak/Pelajar:50 sen

Waktu Operasi

5.30 petang (Ditutup pada hari Isnin)




Muzium Tuan Yang Terutama

     Muzium Tuan Yang Terutama (dahulu dikenali Seri Melaka) merupakan bekas kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Belanda di Melaka pada kurun ke-17. Fungsi bangunan ini diteruskan pada zaman pemerintahan Inggeris hinggalah selepas kemerdekaan. Pada September 1996, kediaman rasmi dan pejabat Tuan Yang Terutama berpindah dari Bukit St. Paul ke Istana Melaka di Bukit Beruang, Melaka.
     Fungsi Institusi Tuan Yang Terutama (TYT) sebagai Pemerintah Tertinggi Negeri dipamerkan bagi mengimbas kembali kewujudan institusi ini. Muzium Tuan Yang Terutama mempamerkan tentang Sejarah Ringkas Institusi Kesultanan, Pembentukan Penubuhan Gabenor Negeri-Negeri hinggalah kepada Peranan dan Institusi TYT. Secara umum peranan Ketua Menteri Melaka turut diselitkan kerana peranan mereka tidak kurang pentingnya dalam menerajui kerajaan negeri.
     Tumpuan utama yang akan diberikan ialah tentang Gabenor / Tuan Yang Terutama selepas merdeka yang telah berkhidmat di Melaka iaitu bermula dari Tun Leong Yew Koh (Gabenor Pertama), Tun Haji Abdul Malek bin Haji Yusuf (Gabenor Kedua), Tun Haji Abdul Aziz bin Abdul Majid (Gabenor Ketiga), Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan (Gabenor Keempat), dan Tun Syed Ahmad Shahabudin Al-Haj (TYT Kelima) dengan menampilkan berbagai-bagai koleksi peribadi milik Tuan Yang Terutama.
     Pameran di muzium ini mengekalkan sebahagian daripada kegunaan ruang asal bangunan. Selain dari itu, ia juga mengetengahkan tentang sumbangan TYT terhadap pembangunan negeri seperti perindustrian, pertanian, pelancongan, pentadbiran, keagamaan dan sebagainya yang berkembang dari masa ke masa sambil dibantu oleh setiap Ketua Menteri di bawah pimpinannya dalam membangunkan negeri Melaka.




Muzium Pemerintahan Demokrasi

     Muzium Pemerintahan Demokrasi yang terletak di bangunan Dewan Undangan Negeri Melaka ini,telah disempurnakan perletakan batu asasnya oleh Tuan Yang Terutama Tun Haji Abdul Malek bin Yusof S.M.N, D.M.K., Gabenor Negeri Melaka pada 31 Ogos 1961.
     Ia merupakan tempat persidangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan Pembentangan Belanjawan Negeri. Persidangan Dewan Undangan Negeri dipengerusikan oleh seorang Speaker yang dipilih daripada kalangan Ahli-ahli Dewan sendiri.
     Bagi Ahli-ahli Dewan, mereka dipilih melalui pilihanraya dan akan menganggotai Dewan selama lima tahun (kecuali Dewan Undangan Negeri dibubarkan). Ahli-ahli Dewan juga dibataskan kepada mereka yang berumur 21 tahun ke atas dan bermastautin di Negeri Melaka.
     Pada bulan Februari 2000, Dewan Undangan Negeri ini tidak lagi digunakan setelah kerajaan membina sebuah bangunan yang memusatkan urusan dan pengurusan pentadbiran di Ayer Keroh termasuk Dewan Undangan Negeri.
     Kini, bangunan ini telah dijadikan Muzium Pemerintahan Demokrasi yang mempamerkan maklumat pemerintahan termasuk amalan demokrasi di Malaysia. Ia turut memaparkan susur galur mengenai sejarah awal Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sehingga kepada kejayaan-kejayaan cemerlang yang dikecapi oleh negara ini dalam sistem pemerintahannya.Dengan wujudnya muzium ini, ia diharapkan dapat memberikan kefahaman tentang bentuk pemerintahan yang dilaksanakan di Malaysia dan sistem kenegaraannya.

Istana Kesultanan Melaka

    Istana Kesultanan Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka) terletak di kaki Bukit St. Paul. Replika Istana ini dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan senibina Istana Melayu, di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456 hingga 1477.

Objektif

  • Untuk mempamerkan kepada umum suasana di Istana Kesultanan Melayu Melaka dan ruang-ruang tertentu seperti Balairong Seri, Balai Beradu serta ciri-ciri Adat Istiadat Raja-Raja Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
  • Untuk menunjukkan keagungan institusi beraja sebagai warisan sejarah budaya Bangsa Melayu yang pernah menerajui Negeri Melaka suatu ketika dahulu disamping mengimbas kembali sejarah pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat dan pengajaran dari peristiwa tersebut.
  • Replika istana ini dibina pada tahun 1984 dan dijadikan sebagai Muzium Budaya apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 17 Julai 1986. Keseluruhan bangunan ini diperbuat daripada kayu keras manakala atapnya dari kepingan kayu belian. *Pembinaannya bercirikan seni pertukangan Rumah Melayu Melaka di mana sendi bangunan diperkuatkan dengan pasak sahaja.
     Secara keseluruhannya muzium ini memperlihatkan fungsi dan peranan istana ketika itu dengan memaparkan Balairong Seri, Bilik Beradu Diraja dan balai-balai yang melambangkan ketamadunan masyarakat Melayu.



Muzium Pulau Besar

    Muzium Pulau Besar dibina dengan kos RM1.9 juta.Ia terletak di Pulau Besar, di luar pantai negeri Melaka atau lebih tepat di Selat Melaka.Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam memaklumkan bahawa muzium itu menyimpan artifak sejarah daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan sejarah Pulau Besar.
    Bangunan sedia di pulau itu diubahsuai untuk dijadikan muzium. Muzium akan menjadi satu lagi tarikan pelancong ke pulau itu. Orang ramai boleh boleh menaiki bot penumpang di jeti Umbai kira-kira 30 minit perjalanan.







Galeri Laksamana Cheng Ho


     Galeri Laksamana Cheng Ho diilhamkan daripada kisah tokoh pelayar agung China iaitu Laksamana Cheng Ho (Zheng Ho) yang telah dilahirkan pada 1371 di Hodai, sebuah kampung di Daerah Bao San di Yunnan. Beliau diberikan nama Ma Ho dan nama kecilnya San Bao.
     Galeri ini memaparkan kisah pelayaran beliau ke lautan selatan di samping kejayaan beliau memupuk perhubungan persaudaraan di antara China dan Negara-negara Afrika dan Asia serta membuka pintu untuk menjalankan perniagaan yang adil.
    Kedudukan galeri ini adalah di anjung kanan Bangunan Stadthyus (Muzium Sejarah dan Ethnografi) dan berada di antara Muzium Sastera, Muzium Sejarah & Ethnografi dan Muzium Pemerintahan Demokrasi. Antara bahan pamerannya adalah bahan porselin, replika kapal, koleksi buku yang menceritakan riwayat Laksamana Cheng Ho dan artikel-artikel yang berkaitan.
     Galeri Laksamana Cheng Ho ini telah dibuka kepada awam pada Februari 2003 bersama dengan pembukaan Muzium Sejarah & Ethnografi dan Muzium Belia Malaysia yang telah dibuka semula selepas ditutup sementara untuk proses penaiktarafan.


Galeri Seni PERZIM

     Galeri Seni Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) terletak di aras satu, bangunan Muzium Belia Malaysia. Galeri ini mempamerkan sejumlah 150 judul lukisan dan 30 buah arca dari pelbagai media dan tema hasil karya artis-artis terkemuka tanah air. Semua hasil seni tersebut adalah menjadi destinasi terbaik untuk menghayati penghasilan seni negara.
Tujuan penubuhan
     Antara objektifnya adalah untuk mempamerkan hasil-hasil seni koleksi para pelukis dan karyawan tempatan dalam pelbagai media seperti cat air, minyak, arca dan sebagainya.



Muzium Adat Istiadat

     Muzium Adat Istiadat terletak di Dataran Alor Gajah, bersebelahan Tugu Keris Majlis Perbandaran Alor Gajah, kira-kira 25 km dari Bandar Melaka. Senibina tradisional Rumah Melayu adalah identiti utama muzium ini.
     Fokus utama muzium merangkumi sejarah awal Daerah Alor Gajah termasuk gambar tokoh-tokoh daerah dan adat-istiadat perkahwinan dengan penekanan kepada Melayu Serantau. Bahan pameran termasuk pelamin, alat perhiasan diri, porselin dan peralatan adat istiadat.
     Muzium Alor Gajah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Tan Seri Abdul Rahim bin Datuk Tamby Chik pada 19 Oktober 1990, Bangunan ini dahulunya di bawah pengawasan Majlis Daerah Alor Gajah sebelum diambil alih oleh Perbadanan Muzium Melaka.

Objektif Penubuhan

     Untuk mengetengahkan pelbagai perkara mengenai adat istiadat khususnya adat perkahwinan agar tidak hilang ditelan zaman Untuk mempamerkan adat resam serta budaya masyarakat berbilang kaum yang ada di Melaka

Bayaran Masuk

  • Dewasa : RM1
  • Kanak-kanak/Pelajar:50 sen

Waktu Operasi

9 pagi - 5.30 petang (Ditutup pada hari Isnin)


Muzium Pertanian

     Muzium Pertanian, terletak di tengah-tengah Pekan Jasin bersebelahan Balai Polis Jasin. Suatu ketika dahulu Daerah Jasin merupakan pengeluar bijih timah dan hasil pertanian terawal di Melaka. Muzium yang diwujudkan ini bertujuan untuk memaparkan sejarah aktiviti dan ekonomi masyarakat tempatan, khususnya di bidang pertanian.
Objektif Penubuhan.
  • Untuk memulihara dan mempamerkan bahan-bahan penting berkaitan dengan sektor pertanian.
  • Untuk menjadi tempat kajian dan penyebaran maklumat mengenai sektor pertanian.
  • Untuk memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai jenis pertanian dan kepentingannya kepada ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat. "Pertanian Menjamin Kehidupan"

Bayaran Masuk

Percuma

Waktu Operasi

9 pagi - 5.30 petang (Ditutup pada hari Isnin)